Monday, 14 November 2011

Contoh Kajian Tindakan


Ramai guru-guru khususnya rakan seperjuangan PPG UPSI yang mula mencari-cari contoh kajian tindakan untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Di sini saya sertakan satu contoh kajian tindakan sebagai panduan cikgu-cikgu semua. Semoga post saya ini dapat membantu cikgu-cikgu semua.


PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK DI KALANGAN GURU-GURU PELATIH UTM


Noor Azlan Ahmad Zanzali & Noraziah Binti Kassim @ Aziz
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia



ABSTRAK: Kajian ini dijalankan bertujuan untuk meninjau penggunaan Information Communication Technology  (ICT)  dalam  pengajaran  dan  pembelajaran  (P&P)  Matematik  di  kalangan  guru  pelatih Universiti  Teknologi Malaysia (UTM). Tiga aspek telah dikaji bagi menjawab persoalan kajian iaitu kelebihan menggunakan ICT dalam P&P Matematik, kelemahan penggunaan ICT dalam P&P Matematik dan  masalah-masalah  yang  dihadapi  oleh  guru  pelatih  UTM  dalam  menggunakan  ICT  dalam P&P Matematik. Sampel kajian terdiri daripada lima orang guru pelatih UTM yang menjalani latihan mengajar di sekolah-sekolah berhampiran. Kajian ini menggunakan dua teknik tinjauan iaitu temubual dan cerapan terhadap guru pelatih.  Analisis data dilakukan dengan menggunakan analisis kualitatif. Dapatan kajian mendapati guru-guru pelatih kurang meggunakan ICT dalam P&P Matematik. Ini adalah disebabkan oleh faktor-faktor luaran seperti kemudahan ICT yang tidak sempurna dan ketidaksesuaian isi pengajaran yang telah tersedia. Beberapa usul telah  dikemukakan  kepada pihak yang terlibat iaitu tenaga mahir, guru pelatih dan pihak sekolah bagi memantapkan lagi penggunaan ICT dalam P&P Matematik.

PENGENALAN

Era teknologi maklumat melibatkan banyak cabaran kepada sekolah-sekolah di Malaysia. Tahap kualiti masa hadapan masyarakat dari segi politik, sosial dan ekonomi bergantung kepada kemampuan generasi muda yang akan mengambil alih peranan pemimpin masyarakat. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)  menekankan bahawa penyaluran maklumat yang lebih berkesan khususnya dalam bidang Sains dan Matematik seharusnya menggunakan peralatan terkini iaitu pengunaan teknologi maklumat.

Bermula dari kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang menggunakan papan hitam dan kapur, bertukar kepada kaedah yang lebih canggih iaitu penggunaan komputer, bahan elektronik, liquid crystal display (LCD), kamera video digital dan lain-lain dalam bilik darjah.




Penyataan Masalah

Para pendidik perlu memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi kerana penggunaan ICT dalam proses P&P di UTM sudah lama digunakan, maka sudah pasti timbul  pelbagai  reaksi  mengenai penggunaannya  walaubagaimanapun  fakulti  pendidika(FP) sudah dilengkapi  dengan  segala prasarana ICT seperti kemudahan projektor, kemudahan akses internet yang baik  serta  makmal-makmal  komputer,  malah  para  pendidik  juga  turut  dibekalkan  dengan  komputer masing-masing. Pihak yang berkaitan perlu mengambil langkah-langkah yang difikirkan perlu agar proses P&P berasaskan ICT dapat berjalan dengan lancar. Justeru itu fokus kajian adalah kepada mengenalpasti sejauhmana bakal-bakal guru mengaplikasikan penggunaan ICT disekolah. Adakah penggunaan ICT ini dapat membantu para pendidik dan pelajar dalam proses P&P, sumber ICT yang digunakan dan masalah- masalah yang dihadapi oleh para pendidik dan pelajar dalam menggunakan ICT dalam P&P.

Objektif Kajian

Beberapa objektif kajian telah dikenalpasti di dalam kajian ini;

i. Mengenalpasti kelebihan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran Matematik.
ii. Mengenalpasti kelemahan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran Matematik.
iii. Mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh guru-guru pelatih dalam menggunakan ICT dalam proses
pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Objektif  kajian  ini  ialah  ingin  mengetahui  penggunaan  ICT  dikalangan  guru  pelatih  dalam  P&P Matematik. Penggunaan ICT ini dipercayai mempunyai kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Di samping  itu kajian ini juga bertujuan untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi guru pelatih dalam menggunakan ICT dalam P&P Matematik.


Kepentingan Kajian

i. Mendedahkan keperluan sebenar guru dan pelajar bagi menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya meningkatkan pencapaian akademik disamping memperolehi pembelajaran yang bermakna.
ii.  Membolehkan  pihak-pihak  berkenaan  membangunkan  perisian  yang  bersesuaian  dengan  suasana pengajaran dan pembelajaran Matematik.
iii. Membolehkan guru menilai dan membandingkan prestasi mereka melalui penggunaan ICT seterusnya
memperbaiki lagi mutu perkhidmatan mereka.
iv. Mengenalpasti tahap penerimaan dan kesediaan guru dan pelajar dalam menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Skop dan Batasan Kajian

Kajian ini bakal dilakukan terhadap para pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sedamg mengikuti  latihan mengajar selama dua belas minggu bagi sesi 2008/2009 khusus kepada guru-guru pelatih yang mengajar subjek Matematik. Lima orang guru pelatih akan dipilih sebagai responden untuk mengetahui  penggunaan  ICT  dalam  pengajaran  dan  pembelajaran  Matematik  dikalangan  guru-guru pelatih.

Kajian  ini  juga  terbatas  kepada  faktor-faktor  dalaman  seperti  kesediaan  responden  untuk  memberi kerjasama  dan  kesediaan  untuk  ditemubual.  Kekangan  lain  seperti  faktor  tempoh  latihan  praktikal dijalankan yang agak terhad dan penglibatan guru pelatih dengan aktiviti-aktiviti sekolah sedikit sebanyak membataskan kajian yang dijalankan.


METODOLOGI Populasi Kajian
Tempat Kajian
Kajian ini dijalankan di sekolah-sekolah menengah berdekatan yang mempunyai guru-guru pelatih UTM
yang dipilih sebagai responden dan guru-guru pelatih ini mengajar Matematik di sekolah tersebut.

Sampel Kajian
Dalam kajian yang dilakukan ini, penyelidik telah memilih sampel daripada kalangan guru-guru pelatih
UTM yang sedang menjalani latihan mengajar di sekolah menengah yang berdekatan.

Dalam  pemilihan  sampel  kajian,  terdapat  pelbagai  pendapat  mengenai  jumlah  persampelan  yang sepatutnya  digunakan  oleh para  penyelidik.  Jumlah sampel yang  diperlukan bagi  mewakili populasi dalam sesuatu kajian adalah sebanyak sepuluh peratus daripada jumlah populasi (Gay, 1976).

Disebabkan penyelidik perlu menjalankan temubual dan pemerhatian secara individu dan terperinci, jadi hanya  lima orang responden dipilih sebagai sampel kajian ini. Sampel kajian adalah guru-guru pelatih yang mengajar Matematik.

Instrumen Kajian

Instrumen kajian adalah pemerhatian dan soalan temubual. Pemerhatian merupakan salah satu teknik yang  boleh  digunakan  untuk  mengesan  kecerdasan  pelbagai  responden  secara  langsung.  Manakala temubual pula  sesuai digunakan untuk mendapatkan data dari responden secara lansung dan terperinci (Mohd Najib, 1999). Temubual dan pemerhatian adalah untuk mendapatkan maklumat lengkap daripada responden mengenai kelebihan dan kelemahan serta masalah-masalah yang dihadapi dalam penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Kaedah Temubual
Temubual adalah kaedah di mana responden dan penyelidik hadir bersama dalam proses memperoleh
maklumat. Temubual dapat menjelaskan tentang corak pemikiran seseorang responden (Mulhern, 1989). Sumber  maklumat yang diperoleh dari temubual juga lebih kaya dan mendalam, terutamanya apabila membincangkan  mengenai  proses  pemikiran  responden  itu.  Soalan  temubual  merupakan  salah  satu instrumen yang akan  digunakan dalam kajian ini, ianya digunakan bagi mendapatkan data berbentuk kualitatif untuk membantu  penyelidik menyokong hasil kajian deskriptif yang telah dijalankan ke atas responden. Ianya juga digunakan  untuk memperoleh maklumat mengenai teknik atau cara pengajaran yang telah dipilih oleh responden.

Terdapat dua jenis temubual, iaitu temubual berstruktur dan temubual separuh berstruktur. Namun dalam kajian  ini  penyelidik  hanya  menggunakan  temubual  separuh  berstruktur  yang  merupakan  temubual temubual yang melibatkan soalan-soalan yang lebih terbuka dan memberi kebebasan kepada responden untuk  mengutarakan  respon  mereka.  Jangkaan  jawapan  tidak  disediakan  dan  segala  kemungkinan jawapan daripada responden diterima.

Penyelidik  memilih  kaedah  ini  kerana  temubual  bersifat  fleksible.  (Azizi,  2007  ).  Penemubual berkesempatan memerhatikan responden dan situasi mereka memberikan jawapan. Melalui kaedah ini juga  penemubual dapat memperolehi informasi yang lebih daripada responden apabila jawapan yang diperolehi tidak  sempurna ataupun tidak relevan. Ini akan memudahkan penyelidik untuk menjawab persoalan kajian iaitu mengenai kelebihan dan kelemahan penggunaan ICT serta masalah-masalah yamg dihadapi guru-guru pelatih dalam menggunakan ICT dalam P&P Matematik.


Kaedah Pemerhatian
Kaedah pemerhatian turut dijalankan bagi mendapatkan maklumat tambahan. Dalam kajian ini, menerusi proses  pemerhatian, maklumat dalam konteks yang lebih luas dapat diperoleh. Pemerhatian yang telah
dijalankan merupakan pemerhatian yang tidak melibatkan diri dan ianya telah dilaksanakan berdasarkan jadual tinjauan guru pelatih semasa mengajar. Jadual tinjauan disediakan bagi memudahkan kerja semasa menjalankan proses pemerhatian. Di bahagian akhir jadual tinjauan, dapatan baru atau komen akan ditulis
oleh penyelidik sendiri selepas menjalankan pemerhatian.

Kaedah ini dibuat sebelum proses temubual dijalankan bagi menyokong maklumat yang bakal diperolehi dalam  kaedah  temubual.  Melalui  pemerhatian  juga,  penyelidik  boleh  melihat  dan  menilai  sendiri bagaimana guru-guru pelatih mengaplikasikan ICT dalam proses P&P Matematik.

Kesahan dan Kebolehpercayaan

Menurut  Azizi  Yahya  (2007)  perkara  yang  perlu  difikirkan  oleh  penyelidik  dalam  menjalankan penyelidikan  adalah  kesahihan  data  yang  dikumpulkan,  sejauh  mana  data-data  itu  dapat  memberi maklumat  dan pengukuran yang tepat serta bermakna dalam penyelidikan. Justeru, selepas penyelidik membentuk alat ataupun instrumen kajian iaitu soal selidik yang sesuai, penyelidik perlu memastikan alat itu mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang khusus.

Temubual
Dalam kajian ini kesahan dan kebolehpercayaan soalan temubual turut diberi perhatian. Menurut Merriam
(2001),  kajian  kualitatif  mementingkan  huraian  yang  realistik  bagi  kes  yang  dikaji.  Kesahan  isi
kandungan dicapai dengan mengenal pasti tingkah laku yang signifikan dan dapat dikaitkan dengan sifat- sifat yang  sedang dikaji. Dari segi kesahan konstruk, tingkah laku yang diperhatikan juga dipastikan supaya berkait rapat dengan konstruk yang menyokongnya. Dapatan kajian perlu dipastikan sah dengan pelbagai sumber data dan  kaedah pengumpulan data dengan tujuan untuk mencapai kesahan konstruk (Jim 1993). Data dikumpulkan mungkin tidak konsisten dan bertentangan antara satu sama lain tetapi apa yang penting adalah pemahaman yang  holistik bagi situasi tersebut untuk membina penerangan yang munasabah bagi fenomena yang dikaji (Merriam, 2002).

Disamping itu, untuk mengelakkan bias semasa menjalankan temubual, pengkaji sentiasa menjelaskan anggapan, worlview serta orientasi teori bagi pengkaji (Bogdan dan Biklen, 1998), serta berkonfrontasi dengan pendapat  dan prejudis diri terhadap data. Penyelidik cuba mengawal prejudis dengan merekod nota lapangan secara terperinci yang merangkumi refleksi untuk menghuraikan pandangan sendiri.

Menurut Merriam (2002), dalam kajian kualitatif, kes dan sample bukan rawak dipilih kerana penyelidik ingin  memahami  keadaan  tertentu  secara  mendalam,  bukan  untuk  mencapai  apa  yang  benar  pada pandangan umum. Beliau juga menyarankan agar pemerhatian bukan sahaja cuba menghuraikan apa yang berlaku dengan  memberi perhatian kepada sebarang pembolehubah yang terkawal, tetapi juga kepada keadaan tidak terkawal. Ciri peribadi dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa pemerhatian dibuat.

Untuk meningkatkan kebolehpercayaan pula, beberapa teknik digunakan bagi memastikan keputusan boleh  dipercayai. Pertama adalah dengan menerangkan anggapan dan teori yang menyokong kajian, kedudukan pengkaji berkenaan kumpulan yang dikaji, asas untuk memilih huraian tentang sampel serta konteks  sosial  bagi  lokasi  pengumpulan  data  (Merriam,  2002).  Teknik  kedua  pula  adalah  dengan menyemak pemerhatian dengan sumber data lain untuk mengetahui sama ada semua data tersebut selaras dengan konteks keseluruhan (Neuman, 1991). Teknik terakhir ialah, untuk ditemubual, pengkaji menilai konsistensi respon dari sampel dengan menyoal  mereka soalan-soalan yang sama dalam bentuk yang berbeza beberapa kali (Best dan Kahn, 1998).


Dalam kajian ini, pengkaji tidak akan menganggu cara pemikiran responden sehingga menyebabkan bias, serta  memahami keadaan yang dihadapi oleh responden. Pengkaji juga akan menanyakan responden soalatemubual  yang sama  dalam bentuk berbeza-beza  untuk  mendapat  kebolehpercayaan  jawapan mereka dan memastikan jawapan yang didapatkan dari reponden adalah konsisten.


PERBINCANGAN

Kelebihan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Menurut  responden  B  contoh-contoh  pembelajaran  yang  berkaitan  dengan  kehidupan  harian  boleh ditunjukan  dengan  menggunakan  komputer  dan  LCD.  Jadi,  pelajar  boleh  mengaitkan  perkara  yang dipelajari  dengan kehidupan harian. Dengan menggunakan ICT, contoh-contoh penggunaan Matematik dalam  kehidupa seharian  dapat  ditunjukkan  dengan  lebih  menarik.  Dengan  ini,  pelajar  dapat mengaplikasikan  perkara  yang  dipelajari  dan  ini  akan  menjadikan  sesuatu  pembelajaran  itu  lebih bermakna.

Ini akan memberikan peluang kepada pelajar untuk mengalami pembelajaran yang bermakna. Melalui pembelajaran yang bermakna, pelajar akan lebih mudah memahami isi pengajaran dan akan merasakan keseronokan mempelajari Matematik.

Untuk memberi respon terhadap petikan di atas Douglas mengatakan komputer adalah peralatan yang ideal  untuk  digunakan  sebagai  alat  yang  memberikan  pengalaman  yang  berbeza.  Pengalaman  yang berbeza ini perlu untuk membina pelbagai jenis pembelajaran Matematik yang bermakna.

Menurut  Robin  J.  Ittigson,  Edd  dan  John  G.  Zewe  penggunaan  teknologi  dalam  kelas  Matematik membantu pengajaran guru untuk memahamkan pelajar. Berikut adalah petikan yang ditulis : (Robin J. Ittigson, Edd dan John G. Zewe, 2004)

‘Geometry software allows student to experiment with properties of shaped and draw conclusions about relationships when measurements are adjusted. Computational capacity extends the range of problems presented to students and provides choices to teachers when presenting abstract mathematical concepts.

Petikan diatas tidak dapat dinafikan kerana menurut kajian yang dijalankan tiga daripada lima responden iaitu  responden A,B dan D menyatakan bahawa penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam sesetengah tajuk terutamanya tajuk yang memerlukan daya imaginasi pelajar.

Manakala bagi responden D penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik sangat membantu terutamanya dalam tajuk transformation. Ini kerana penggunaan ICT akan memudahkan untuk menunjukkan proses pergerakan sesuatu objek. Ini akan memudahkan pemahaman pelajar.

Penggunaan  ICT  mampu  meningkatkan  keberkesanan  pengajaran  dan  pembelajaran  Matematik.  Ini kerana menurut responden A dan C, penggunaan ICT seperti CD Rom dan Courseware mampu menarik perhatian pelajar dan pelajar lebih bersemangat untuk belajar. Dengan menggunakan ICT pelajar-pelajar sangat-sangat memberi perhatian kerana pelajar tertarik dengan apa yang dipaparkan. Ini di sokong oleh Robin J. Ittigson, Edd dan John G. Zewe, 2004 dalam petikannya:

Technology empowers learners with tools to enhance their learning styles and make concepts understandable and interesting.


Kelemahan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Melalui temuramah yang dijalankan, responden C menyatakan bahawa kelemahan dalam menggunakan ICT adalah penggunaan CD yang disediakan adalah objektif yang ingin dicapai dan objektif yang terdapat dalam CD yang disediakan tidak selari. Untuk sesetengah tajuk, CD yang disediakan mempunyai banyak objektif yang ingin dicapai, jadi isi kandungan CD tersebut tidak sesuai untuk dijadikan sebagai bahan pengajaran kerana objektif yang ingin dicapai pada sesi pengajaran tersebut kurang arasnya berbanding dengan isi kandungan pengajaran CD tersebut.

Perisian pengajaran yang memerlukan komputer berfikir sebelum bertindak sukar untuk dibangunkan (Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp dan Rose Alinda Alias, 1996). Kebanyakan perisian kursus pada hari ini tidak mempunyai ciri kepintaran. Lazimnya perisian itu tidak mampu membezakan input pelajar yang hampir sama ataupun yang mempunyai maksud yang sama. Pemelajaran melalui komputer pada hari ini lebih tertumpu kepada kaedah tutorial dan latih tubi yang bersifat objektif.

Berdasarkan analisis data dalam bab 4, pengkaji mendapati bahawa walaupun kebanyakan guru pelatih bersetuju  proses pengajaran dan pembelajaran lebih mudah dan berkesan dengan menggunakan ICT, namun menurut responden ini hanya untuk sesetengah tajuk sahaja.

Majoriti responden berpendapat untuk sesetengah tajuk, kaedah chalk and talk lebih berkesan berbanding penggunaan ICT.  Ada  topik  dimana  penggunaan ICT  tidak  membantu.  Contohnya  tajuk-tajuk  yang memerlukan penerangan yang mendalam dan langkah penyelesaian lebih mudah di jelaskan melalui kaedah  chalk  and  talk.  Maksud  kaedah  chalk  and  talk  disini  adalah  responden  menerangkan  isi pengajaran dengan hanya berbantukan papan hitam. Responden menerangkan mengenai isi pengajaran dan menunjukkan langkah-langkah penyelesaian masalah satu persatu tanpa bantuan komputer dan LCD projektor. Pelajar juga lebih suka jika guru menggunakan kaedah chalk and talk.

Ini kerana perisian kursus yang bermutu tinggi amat susah untuk dihasilkan. Beratus-ratus jam tenaga mahir diperlukan bagi tujuan ini. Tenaga pengajar yang mahir mengendalikan komputer sukar didapati. Faktor  masa  dan  kekurangan tenaga  mahir adalah penghalang utama  mengapa perisian kursus yang bermutu tinggi sukar untuk dihasilkan. (Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp dan Rose Alinda alias,
1996).

Menurutnya lagi, ia memerlukan pengetahuan kecerdasan buatan dan merupakan bidang yang masih baharu. Penggunaannya masih terhad kepada sesuatu bidang sahaja sehingga kini, banyak usaha sedang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk menggunakan konsep kecerdasan buatan dalam pemelajaran.
 Masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru pelatih dalam menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran Matematik

Teachers time is always at a premium,and the Becta study highlighted this as being crucial to future engangement.

Petikan  ini  adalah  pendapat  Peter  D.Jones  dan  Steve  Wheeler,2008  yang  membuktikan  betapa berharganya masa bagi seorang guru. Menurutnya lagi guru memerlukan lebih masa flexible agar guru dapat menggunakan software dalam apa jua keadaan yang berisiko serta menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan peralatan yang disediakan pada masa yang telah ditetapkan tanpa perlu adanya penangguhan masa pengajaran dan pembelajaran.


Ini kerana masalah utama penggunaan ICT adalah masalah dari segi kekangan masa. Hasil daripada kajian  yang  telah  dijalankan,  pengkaji  mendapati  melalui  penggunaan  ICT  dalam  pengajaran  dan pembelajaran Matematik ini masa pengajaran yang sebenarnya akan berkurang.


Guru-guru pelatih UTM didapati kurang menggemari kaedah pengajaran menggunakan ICT atas beberapa faktor. Salah satu daripadanya adalah dari segi kekangan masa. Kekangan masa yang dimaksudkan adaladari segi masa penyediaan untuk memulakan P&P.
  
i. Untuk memulakan pengajaran di dalam makmal komputer, pergerakan pelajar adalah dari kelas ke makmal komputer tersebut mengambil masa dari lima hingga sepuluh minit. Ini akan menyebabkan masa pengajaran sebenar berkurang.
  
ii.  Penyediaan  peralatan  dan  perkakasan  komputer  seperti  pemasangan  projector  LCD.  Ini  kerana peralatan tersebut perlu dibawa dari bilik persediaan ke dalam kelas.


Responden  A  dan  B  hanya  perlu  memasang  peralatan-peralatan  iaitu  komputer  dan  LCD  projektor sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran kerana peralatan-peralatan ini telah disediakan didalam  kelas.  Tetapi  responden  perlu  mengambil  masa  selama  lima  hingga  sepuluh  minit  masa pengajaran.

Responden C pula perlu membawa peralatan-peralatan yang ingin digunakan ke kelas yang berkenaan kerana peralatan-peralatan tersebut tidak disediakan di dalam kelas tersebut. Manakala responden D dan E pula perlu menunggu kehadiran semua pelajar untuk ke bilik komputer.

* p/s:- Saya xdpt post sepenuhnya Contoh Kajian Tindakan ini kerana masalah blog. Untuk contoh penuh Kajian Tindakan ini, sila rujuk link ini :- Contoh Kajian Tindakan Penggunaan ICT di sekolah


1 comment:

  1. Salam cikgu...
    blog cikgu menarik, dan selesa dibaca..
    jemmput singgah ke blog saya,
    http://permatapendidik.blogspot.com/
    Thanks.. =)

    ReplyDelete